Monday, 14 September 2015



ADAT RESAM PERKAHWINAN MASYARAKAT KENYAH, SARAWAK
Masyarakat Kenyah merupakan salah satu daripada etnik pribumi di Sarawak Bumi Kenyalang. Dikatakan asal usul masyarakat Kenyah adalah dari Dataran Tinggi Usun Apau sejak 1400-1700 masihi lagi. Menurut sumber dikatakan bahawa masyarakat Kenyah telah mula berpecah kepada beberapa sub-etnik kenyah sekitar tahun 1400-1600 masihi. Sub-etnik Kenyah ini terbahagi kepada kaum Kenyah Jamoh, Kenyah Badeng, Kayan, Lepo’Tau, Lepo’ Maut, Uma Bahah, Lepo’ Kulit, Kenyah Sambob, Penan dan banyak lagi. Majoriti masyarakat Kenyah di Sarawak banyak mendiami kawasan di lembah sungai seperti di hulu Batang Baram, Usun Apau, Balui, Tinjar dan hulu Batang Rajang. Seperti masyarakat etnik Sarawak yang lain, masyarakat Kenyah juga mempunyai adat resam budaya yang unik termasuk adat resam perkahwinan mereka yang diperturunkan serta masih diamalkan sehingga sekarang.
Di dalam memperkatakan adat resam perkahwinan masyarakat Kenyah sudah tentu ianya harus dimulai dengan adat meminang atau Pergi “Peteng”. Setiap teruna yang berkenan dengan si dara hendaklah bertandang ke rumah keluarga si dara bersama-sama dengan kedua ibubapanya bagi mendapat persetujuan daripada ibubapa si dara tersebut. Kebiasaannya pada zaman dahulu, dasar perkahwinan adalah lebih mementingkan pangkat dan kemampuan antara kedua-dua belah pihak. ‘Paren’ atau kedudukan yang tinggi di dalam rumah panjang dan atau tidak memperoleh sekurang-kurangnya satu kepala musuh maka pinangan selalunya akan ditolak. Sekiranya lelaki tersebut memperoleh satu kepala musuh, ini menunjukkan dia adalah seorang yang berani dan dapat melindungi bakal keluarga daripada apa-apa cabaran. Sekiranya perkara tersebut tidak dimiliki oleh pihak lelaki, lamaran atau pinangan akan ditolak kerana pihak ibubapa si dara akan merasa malu bermenantukan si teruna tersebut dan boleh berlaku penceraian setelah berkahwin. Walau bagaimanapun bersesuaian dengan zaman moden sekarang adat resam adalah tidak berdasarkan kepada harta atau kedudukan tetapi berdasarkan kepada pekerjaan yang boleh menyara kehidupan kedua-dua pengantin. Andaikata semua syarat adat telah dilengkapi maka kedua-dua keluarga akan terus berbincang untuk mengadakan majlis perkahwinan nanti.
Dari segi hantaran perkahwinan pula, beberapa barangan harus disediakan seperti “keluma” iaitu kain sarung untuk perempuan dari wakil pengantin perempuan, “baing puk” iaitu sebilah parang yang hulunya berhiaskan bulu, “tawek” iaitu gong di mana kedua-dua pengantin akan duduk diatasnya sewaktu persanding dan juga beberapa barangan lain yang ditetapkan oleh wakil pihak perempuan.
Bagi persediaan perkahwinan, kebiasaannya majlis perkahwinan akan mendirikan sebuah pondok kecil yang dihiasi indah yang menjadi pelamin untuk kedua-dua pengantin disandingkan. Pelamin ini dinamakan “uma’ jakok” atau rumah rokok tradisional orang Kenyah. Pakaian pengantin pula ialah pakaian tradisional iaitu “ta’a” dan “avet”. Segala upacara perkahwinan pula berlangsung di rumah pengantin perempuan. Menurut adat resam dahulu, wakil pengantin perempuan akan menjaga pintu utama semasa pengantin lelaki serta wakilnya sampai dan akan membenarkan mereka masuk sekiranya semua permintaan hantaran adalah mencukupi untuk “penjaga pintu utama” itu. Ini adalah untuk menguji sama ada pengantin lelaki benar-benar mahu mengahwini pengantin perempuan. Upacara ini disambut dengan meriah dan seluruh kampung akan dijemput untuk bermain alat musik serta “ne’nak’ (seperti syair atau pantun) oleh kedua-dua pihak yang menunjukkan mereka kegembiraan atas perkahwinan tersebut.
Salah satu adat yang paling menarik di dalam perkahwinan masyarakat Kenyah adalah setelah berkahwin adalah wajib untuk pengantin lelaki tinggal bersama-sama dengan keluarga si isteri sekurang-kurangnya selama 1 atau 2 tahun. Semua ini dilakukan bagi membalas jasa serta budi ibubapa pengantin perempuan yang telah menjaga pengantin perempuan itu dari kecil sehinggalah dia dewasa. Bagi sesetengah pihak mungkin ini satu proses yang memerlukan kesabaran yang tinggi namun inilah masyarakat Kenyah yang kaya serta amat menghormati jasa-jasa orang tua dan hidup di dalam kesatuan keluarga yang besar. Setelah lulus proses ini barulah kedua-dua suami isteri dibenarkan untuk membina penghidupan sendiri dan berdikari di tempat lain.
Masyarakat Kenyah adalah satu masyarakat yang mementingkan maruah dan kehormatan di dalam keluarga dan mereka adalah masyarakat yang tidak membenarkan HAMIL SEBELUM PERKAHWINAN. Sewaktu dahulu sebelum terdapat satu hukuman untuk PENZINA yang dikenali sebagai PELABAI. Pelabai adalah hukuman berat yang menunjukkan kebencian masyarakat terhadap perlakuan seks sebelum kahwin. Di dalam rumah panjang ada ruang berjalan kaki. Di sebelahnya ada pentas kecil yang membolehkan mereka menjalankan kegiatan seperti menyulam dan sebagainya. Kemudian, ada amin (bilik-bilik kecil). Ada tiang yang banyak di situ.
Pada Hari pertama, wanita yang dihukum Pelabai akan diikat di salah satu tiang dengan bertelanjang bulat. Tangannya akan diikat ke atas. Penduduk rumah panjang yang lalu lalang akan menghina, meludah, menyumpah dan mencerca wanita itu. Sekiranya wanita itu mengandung, dia akan dihantar ke kawasan perkuburan. Kubur terletak di bahagian hilir seberang sungai. Keluarganya hanya boleh menghantar makanan tanpa berkata apa-apa sehinggalah wanita itu cukup bulan. Wanita itu harus menggali lubang sendiri dan beranak di situ. Bayi yang dilahirkannya mesti dikuburkan hidup-hidup. Biasanya, si ibu turut mati kerana beranak seorang diri, tanpa bantuan. Hukuman Pelabai ke atas lelaki Kenyah pula adalah, ditelanjang bulat dan dihantar ke sungai. Lelaki itu harus berdiri di sungai hingga air sungai ke paras pusat. Lelaki ini akan berdiri dari matahari terbit hinggalah matahari terbenam. Orang-orang di rumah panjang akan menggunakan batang tepus untuk merejam ke arah kemaluan lelaki itu. Batang tepus memang kuat dan boleh mencederakan malah, membunuh. Biasanya, lelaki yang menjalani Pelebai akan mati. Sekiranya hidup, dia akan lumpuh dan tidak dapat berfungsi sebagai lelaki sejati lagi.
Kini, hukuman Pelabai ke atas masyarakat Kenyah yang berzina tidak diamalkan lagi. Kebanyakan masyarakat Kenyah telah menganuti agama Kristian dan hidup sejajar dengan dunia moden yang mempunyai undang-undang kerajaan sendiri yang wajar diikuti dan juga dihormati.
Inilah sedikit paparan tentang adat resam perkahwinan daripada masyarakat Kenyah dari Sarawak, Bumi Kenyalang. Ianya tidaklah begitu spesifik kerana masyarakat Kenyah yang mempunyai beberapa sub-etnik Kenyah sudah tentu mempunyai beberapa adat resam yang tidak dinyatakan di dalam paparan ini. Dan jika ada, pihak Borneo Oracle mengalu-alukan sebarang nilai tambah atas posting ini supaya sama-sama kita cuba memahami sosio budaya masyarakat Kenyah di Sarawak. Tidak Kenal Maka Tidak Cinta…
.
pantun lawak...
Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah hamba menumpang mandi
Patutlah bau badan kau busuk semacam
Bilik air ada, buat apa kau mandi kat ladang..

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kenapa kau nak jolok pakai galah
Sebab cempedak tu dah jatuh kat luar pagar

Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Kat pasaraya tak ada hutang hutang
Kalau nak, bayar, Cash On Delivery

Kalau ada jarum yang patah
Jangan di simpan di dalam peti
Kesian betul dengan kau ni
Jarum patah pun kau simpan dalam peti.

Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Kalau kau berani kejarlah kucing tu
Mesti kau kena cakar sampai berbelang-belang gak..

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Kain Pak Malau, Mak Limah yang lipat
Kain aku, si pencuri yang sapu

Rumah Pak Mamat di tepi sawah
Pakai langsir berwarna biru
Ooi Pak Mat, langsir warna biru tak lawa lah
Pakailah warna kuning ke, hijau ke, kelabu asap ke.

Air pasang dalam surut pukul lima
Nyonya bangun pagi siram pokok bunga
Haloo nyonya, mau tanya sikit
Siram pokok bunga aje, tak jual sayur ka?

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Kalau padi tu belumlah masak
Janganlah tuai, taklah layu-layuan. .

Limau purut masak di dahan
Batang selasih condong uratnya
Limau purut tak boleh makan
Nanti sakit perut apa ubatnya.

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Buat apa nak ke Pulau Pandan yang jauh tu
Pergi aje ke Kampung Pandan

Sorong papan tarik padan
Buah keranji dalam perahu
Tolonglah jangan makan buah keranji tu
Nanti badan kau orang berbau.

Hayya Cik Siti, perempuan banyak muda
Ana banyak takut jalan tutup mata
Memanglah takut kalau jalan tutup mata
Sebab takut terpijak lubang Indah Water

Encik Baba jatuh dalam parit
Cik Aminah ketawa jerit jerit
Sampai hati Cik Aminah ketawakan saya jerit-jerit
Mentang-mentanglah saya jatuh dalam parit

Buai laju laju
Sampai pokok sena
Woii, jangan buai laju-laju
Nanti kang tercampak kat pokok sena

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Cucur atap tak sedap
Cucuk pisang, cucur udang, haaa tu sedap

Thursday, 10 September 2015

Bermulalah kisah pada suatu petang sang kancil yang cerdik bersiar-siar didalam hutan belantara. Sedang ia bersiar-siar tiba-tiba sang kancil telah terjatuh ke jurang yang amat dalam. Ia cuba untuk keluar berkali-kali malangnya tidak berjaya.

Setelah segala usaha yang dilakukan adalah sia-sia, sang kancil pun berfikir;

“Macam mana aku nak keluar dari lubang yang sangat dalam ini”

Setelah lama berfikir namun tiada idea yang bernas untuk sang kancil keluar dari lubang tadi, namun sang kancil tetap tidak mahu berputus asa.

Dalam kebuntuan mencari idea, sang kancil telah terdengar bunyi tapak kaki yang besar.

“Kalau bunyi tapak kaki macamni, ni tak lain, mesti gajah ni!”


Kemudian Sang Kancil mendapat satu idea yang bernas untuk menyelamatkan diri untuk keluar dari lubang.

Kemudian sang gajah yang lalu itupun menegur sang kancil;

“Eh sang kancil, tengah buat apa?” Tanya si Gajah.

“Menyelamatkan diri!”

“Dari apa?” Tanya gajah lagi.

“Dari bahaya, cuba tengok atas, langit nak runtuh, dah hitam” Balas sang kancil.

Gajah yang dungu ini pun terus mempercayai sang kancil bulat-bulat.

“Habis tu macam mana nak selamatkan diri?” Tanya si gajah.

“Masuklah sekali dalam lubang ini, kalau langit runtuh pun selamat kita dekat sini”

Tanpa berfikir panjang sang gajah pun terus melompat ke dalam lubang untuk menyelamatkan dirinya. Kemudian sang kancil pun mengambil kesempatan untuk melompat di atas badan gajah dan terus keluar dari lubang yang dalam itu.
“Haha, padan muka engkau, selamat aku” Kemudian sang kancil pun berlalu pergi meninggalkan sang gajah yang masih terpinga-pinga di dalam lubang tadi”.


Seronok juga bila membaca cerita kanak-kanak begini. Teringat masa kecil dulu, inilah cerita dongeng dan turun temurun yang diwarisi dari zaman berzaman. Namun bila difikirkan kembali, apa yang cuba untuk disampaikan melalui cerita ini?

Jadilah seperti sang kancil yang cerdik tapi tak baik?

Atau jadilah seperti sang gajah yang baik tapi tak cerdik?

“Orang baik tak cerdik akan ditipu, orang yang cerdik tapi tak baik akan menipu”

Jangan jadi sang kancil seperti dalam cerita tadi kerana sang kancil yang cerdik tapi tak baik telah menipu sang gajah untuk menyelamatkan diri. Juga jangan jadi seperti sang gajah kerana walaupun baik tapi tak cerdik akan ditipu.

Jadi tiada pilihan lain selain jadi orang yang cerdik dan baik kerana orang yang sebegini tidak akan ditipu juga tidak menipu. Dan pengakhiran cerita sang kancil dan sang gajah itu sepatutnya begini.

“Eh, sang kancil, tengah buat apa?” Tanya sang gajah.

“Aku terjatuh dalam lubang yang besar inilah, dah berkali-kali aku cuba untuk keluar tapi tak berjaya, bagaimana kalau engkau berjaya tolong aku untuk keluar dari sini, aku akan bagi tebu yang paling besar di dalam hutan rimba ini!” balas sang kancil

“Oh, ye ke, baiklah tapi aku nak keluarkan engkau bagaimana?”

“Cuba engkau tengok sekeliling, mana tau ada dahan kayu ke pokok tumbang ke untuk keluarkan aku dari lubang ini”

“Oh aku Nampak ada dahan kayu”

Kemudian sang gajah menggunakan kekuatannya menolak tunggul kayu dan menggunakan belalainya untuk menolak tunggul kayu ke dalam lubang.

Kemudian sang kancil pun keluar dari lubang itu dan seperti yang dijanjikan, memberikan sang gajah tebu yang paling besar dalam hutan rimba.